07 August, 2013

Memori Alam Persekolahan

         Waktu makin berlalu, dalam tak sedar, dah menjangkau 20-an. Menempuh alam pra-dewasa dengan penuh sabar dan akur dengan segala ketentuanNya. Terkenang pula kisah di alam persekolahan. Dari SK  Dato' Klana Putra ke SMK Agama Pedas, kemudian kembali ke SMK Dato' Klana Putra di mana di sini bermulanya kenangan-kenangan tercipta.

        Di SKDKP mengimbau kenangan mengejar gelaran no. 1 di dalam peperiksaan. Belajar di kampung lebih menenangkan. Sebelum berpindah ke kampung, SK Bangsar ialah tempat ana mula menuntut ilmu. Alam persekolahan amat menyeronokkan. Berjumpa ramai kawan, belajar dan bermain bersama. Kalau sekolah rendah, sibuk dengan bermain tiang, sekolah menengah pula lain ceritanya. Kekangan yang ada menyebabkan ana kembali ke SMKDKP. Di sini, ana dikurniakan 4 sahabat yang sentiasa bersama walau suka dan duka. Bak belangkas, ke mana sahaja pasti bersama. Gurau senda menjadi hiburan setiap masa.

        Ana, Aini, Ila, Nurul dan Hani. Masih bersama sehingga hari ini walau pun masing-masing terpisah dek belajar dan kerja. Setiap kali tiba waktu cuti, kami menanti antara satu sama lain supaya dapat berkumpul seperti dulu. Berbual panjang, bergurau, sambut hari lahir bersama-sama. Membangkitkan kisah lama dan baru. Kami mengulangkaji pelajaran bersama sebelum menuju ke medan perang minda iaitu peperiksaan. Belajar di rumah lama Ila, bercerita, bergelak tawa menjadi selingan dalam waktu belajar kami. Nurul yang pastinya ada banyak cerita yang dikongsikan bersama kami membuatkan kami kering gusi, tambahan dengan telatah dia dan Ila.

        Masih ana ingat cerita mereka yang dikejar lembu semasa berada di kaki bukit di belakang rumah Aini. Sayangnya, ana tiada di sana ketika itu. Tetapi ana dapat bayangkan telatah mereka semasa dikejar. Macam-macam gaya. Hahaha....Selepas selesai belajar bersama, buaian di rumah lama Ila menjadi tempat berehat kami. Berebut-rebut nak duduk..huhu..Kemudian bercerita macam-macam benda sampai hari dah petang sedikit, baru balik. Banyak lagi cerita kami yang dapat kami simpan sahaja sebagai memori untuk kami sahaja. Sekarang, masing-masing telah berjaya dengan kehidupan sendiri. Semoga persahabatan kami kekal sehingga ke Jannah..Amin.

05 July, 2013

Bersabarlah wahai sekeping hati

         Istilah berpacaran, brcinta atau "couple" makin menjadi bualan rancak dalam kalangan remaja zaman ini. Apabila terjebak dalam hiburan dunia ini,, bermacam-macam ragam yang ana perhatikan.          
        Tatkala remaja hari ini berlumba-lumba mencari pasangan, ana terfikir apakah usaha mereka berbaloi.. Alangkah bahagia jika mendapatkan ukhti/akhi yang menepati pilihan syarak pada waktu dan keadaan yang mengharuskan ..soleh/solehah serta memahami tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT dan mampu membawa diri kita ke lembah kebaikan. Tapi sekiranya yang sebaliknya diperoleh, pasti mempengaruhi kehidupan pada masa hadapan. Pengalaman mengajar diri apabila terleka dengan hiburan dunia ini. Tersalah langkah sehingga tidak terkecuali daripada hiburan ini. Kenapa ana gelarkan "couple" sebagai hiburan?
       Perhatikan, gelagat teman-teman yang sedang dilamun perasaan ini. Suka berkhayal dan memikirkan perkara yang belum tentu terjadi apa lagi jika diri masih di bangku sekolah lagi. SMS, berbual berjam-jam tanpa urusan yang diharuskan syarak, kemudian berjumpa. Ada yang yang sanggup mengetepikan keluarga dan mengabaikan pelajaran yang seharusnya menjadi fokus utama dalam usia setahun jagung ini. Seronok benar apabila digelar pasangan romantis, berkepit ke mana-mana tanpa segan silu walhal ikatan yang terbina hanyalah sebagai ikatan yang tetap ajnabi baginya. Inilah yang ana katakan hiburan, sungguh melekakan. Andai diri tidak mampu mengcegahnya, mulalah tersebar di keratan akhbar, kes khalwat yang akhirnya membawa kepada kes kelahiran bayi sebelum bernikah. Nauzubillah, moga kita terpelihara daripadanya.
      Apabila bercinta, yang buruk jadi cantik, yang jahat jadi baik, yang hakikinya salah jadi betul. Lumrah bagi yang sedang angau bercinta. Jika benar akhi/ukhti ingin mempunyai seseorang sebagai pendamping sehingga akhir hayat, ayuh, persiapkan diri kita, perbaiki segala kekurangan kita. Sampai masa yang dinantikan, akan hadir jua insan sah bagimu. Ana, akhi dan ukhti harus berusaha mencintai Pencipta kita terlebih dahulu.Biar pun masih di peringkat bawah dalam mencari cintaNya, biar pun diperli dan dipandang serong dengan masa lalu kita, itu bukan penghalang bagi kita untuk mendapatkan cintaNya kerana yang pasti Dia Maha Pengasih dan Penyayang. Dengan mencintaiNya, pasti Dia akan mempertemukan kita dengan yang selayaknya. InsyaAllah..
       
Titipan sebagai perkongsian: http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2011/06/hati-hati-merisik.html